BARU-BARU ini kekasih yang saya kenali sejak lima tahun lalu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Sejak pemergiannya saya menjadi hilang arah dan tidak tahu bagaimana untuk memulakan kehidupan tanpa dia di sisi.
Sungguh saya sangat mencintainya. Setiap hari saya pasti menangis apabila teringatkannya. Saya sering bertanya diri sendiri mengapa begini akhirnya percintaan kami?
Kadangkala saya terasa diri ini terlalu kuat untuk menghadapi kenyataan ini, namun sering juga hati saya terlalu goyah untuk menerima kehilangannya yang tidak terduga.
Apatah lagi Aidilfitri bakal menjelang. September tarikh lahirnya serta ulang tahun kelima percintaan kami. Saya sedih mengenangkan saya kini bersendirian menghitung detik bermakna itu.
Saya sangat perlukan kata-kata semangat dan panduan untuk bangkitkan keceriaan hidup saya semula. Saya tidak mahu roh kekasih saya tidak tenang jika saya terus bersedih atas kematiannya.
ANGEL
Tidak salah untuk bersedih di atas kematian insan yang kita sayang kerana memang begitu fitrah naluri semula jadi kita sebagai manusia normal.
Bagaimanapun Islam mengajar kita dalam setiap sesuatu yang kita lakukan perlu ada batasannya dan jangan keterlaluan atau melampau-lampau.
Kita dilarang keterlaluan atau melampau-lampau kerana perbuatan itu tidak mendatangkan kebaikan, melainkan sekadar membawa keburukan.
Begitu halnya dengan kes saudari. Sedarilah jika saudari keterlaluan dan melampau-lampau dalam bersedih, keadaan tidak akan menjadi lebih baik. Bukan soal roh kekasih saudari tidak tenang, tapi yang pasti kehidupan saudari di dunia akan terjejas.
Lebih daripada itu, saudari boleh dikira berdosa kerana tidak dapat menerima takdir Allah, malah saudari sebenarnya mempertikaikan ketentuan Allah apabila berkata “mengapa begini akhirnya percintaan kami?”
Justeru ingat Rukun Iman yang kita hafal sejak kecil, di mana satu daripadanya ialah percayakan qada’ dan qadar Allah. Jangan kita sekadar tahu melafazkannya tapi tidak tahu mempraktikkannya apabila musibah melanda kita.
Akhir sekali kita juga perlu yakin dan percaya bahawa setiap ketentuan Alah ke atas kita, termasuk sesuatu yang kita tidak suka, ia sebenarnya baik untuk kita.
Ini kerana Allah lebih mengetahui apa yang baik untuk kita berbanding diri kita sendiri, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu.” (Al-Baqarah: ayat 216)